Wanita dan fesyen
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
WANITA dan fesyen begitu sinonim, tanpanya penampilan diri tidak lengkap. Pemilihan fesyen bersesuain dengan imej menjadikan penampilan lebih menyerlah. Begitu banyak jenama dan warna untuk dipilih di pasaran tetapi kadangkala sukar mencari yang sesuai dengan imej dan keperibadian.
Apabila sebut fesyen kebiasaanya kita akan kaitkan dengan wanita yang tidak bertudung. Sebagai contoh wanita tidak bertudung boleh mengenakan fesyen pelbagai baju, beg tangan, kasut sehinggalah fesyen rambut. Setiap pilihan aksesori pula menjadi pelegkap gaya, pilihan sedondon warna pakaian, kasut dan beg tangan. Gabungan dua atau tiga warna akan memberi lebih impak jika pandai mengenakannya.
Kini keadaan telah berubah, pasaran menawarkan pelbagai pilihan gaya dari hujung rambut ke hujung kaki, tampil pelbagai butik-butik pakaian, tudung, aksesori dan kelas-kelas grooming, dan make-up bagi memenuhi permintaan. Butik busana muslimah juga turut memberi pilihan yang berpatutan sehingga esklusif.
Saya lihat wanita bertudung juga sudah pandai mengenakan warna pakaian, beg tangan dan kasut serta tambahan aksesori seperti cermin mata hitam, rantai serta tali pinggang. Namun saya masih berpegang dengan prinsip "less is more". Namun, bagi pemilik bertudung haruslah pandai membuat pilihan jenis tudung dan warna amat penting bagi menampakkan pemiliknya bergaya anggun. Saya berpendapat untuk nampak cantik tidak perlu mengenakan jenama baju berjenama Channel atau beg tangan berjenama Guess dan mengenakan kasut berjenama Shuz serta tampil bercermin mata Dior. Cukup dengan gaya busana yang longgar dan berseluar serta bertudung dengan rona tudung sedondon, dan mengenakan hand beg dan kasut yang sedondon (tidak sedondon pun nampak cantik jika kene dengan aksesori lain)dan hasilnya 'you look gorgeous'. Nanti kita diskas tentang fesyen-fesyen yang sesuai dengan muslimah yang trendy.
Pengasas busana Muslimah Atim-Agoy Boutique kembali ke Rahmatullah
Perunding imej wanita Muslimah yang juga pengasas serta pemilik jenama Atim-Agoy Boutique itu meninggal dunia akibat serangan barah payu dara yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu. Pemergian Allahyarham disaksikan oleh ahli keluarga terdekat iaitu suami, Wan Azizan Wah Ahmad, anak tunggal pasangan berkenaan, Azrul Azwa, 32, serta menantu mereka.
Adik kepada Allahyarham, Humaidi Datuk Ghazali, berkata, Allahyarham yang juga pemilik Syarikat Muslimah Grooming & Modelling pergi meninggalkan arena fesyen tempatan sehari sebelum genap usia 63 tahun kerana hari lahirnya jatuh pada 15 Jun.
Menceritakan sifat yang disenangi Humaidi berkata, sepanjang hidup Allahyarham seorang yang cepat mesra dengan semua orang. Malah, disenangi dengan sifatnya yang pelembut, peramah dan suka mendidik.
“Allahyarham tidak pernah kedekut atau mementingkan diri sendiri ketika berkecimpung dalam dunia fesyen. Ini dapat dilihat sendiri apabila beliau sering mencurahkan pandangan menerusi ceramah dan motivasi yang dianjurkannya mengenai cara mengenakan fesyen yang menarik, anggun dan berlandaskan Islam.
“Saya terharu kerana Allahyarham seorang yang mulia, baik hati serta seorang yang kreatif. Walaupun terbabit dalam dunia fesyen pelbagai gaya, namun sebagai wanita Muslim, Allahyarham tidak melepaskan tanggungjawab mendidik dan menggalakkan wanita Islam mengenakan pakaian menutup aurat menerusi busana Muslimah yang diperkenalkannya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, kelmarin.
Nama Hamadah pernah melonjak dan mewarnai dunia fesyen rekaan di negara ini, khususnya dalam rekaan busana Muslimah. Kejayaannya mencipta fenomena baru, mengetengahkan fesyen busana Muslimah kontemporari, anggun dan eksklusif, tetapi masih terikat dengan syariat Islam, 11 tahun lalu, berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap pemakaian gaya bertudung di negara ini.
Allahyarham yang juga Pengarah Atim-Agoy Boutique pernah berkata, sebagai wanita berkerjaya yang bertudung tidak salah bergaya ke tempat kerja, malah ia satu keperluan bagi memperlihatkan keindahan dalam Islam apabila berpakaian.
Melalui Atim-Agoy Boutique yang diasaskan pada 1998, Allahyarham sentiasa menekankan tiada sebab wanita Muslimah tidak cantik semata-mata kerana bertudung. malah berpendapat, tiada larangan mengenakan fesyen dalam Islam selagi masih memenuhi lunas dan hukum yang ditetapkan.
Berpegang prinsip itulah, Allahyarham gigih merekacipta busana fesyen Muslimah kontemporari, mengikut ragam aliran masa kini iaitu daripada koleksi untuk ke majlis rasmi hinggalah fesyen ke pejabat dan pengantin. Namanya, mula meniti dari bibir ke bibir terutama di kalangan penggemar fesyen Muslimah, tambahan ketika itu memang tiada saingan.
Bagaimanapun, berikutan kemunculan butik fesyen Muslimah tumbuh bagaikan cendawan tidak lama kemudian, menenggelamkan seketika jenama Atim-Agoy. Ujian lebih besar dihadapi Allahyarham ialah apabila disahkan menghidap barah payu dara pada 2007 dan pernah lumpuh separuh badan selama lebih sebulan.
Berikutan keadaan kesihatan yang tidak stabil, keputusan menutup beberapa rangkaian butiknya termasuk di Shah Alam dan di pusat beli-belah di Mid Valley terpaksa diambil.
Namun begitu, Allahyarham masih gigih berkarya dan mencurahkan idea bagi menghasilkan rekaan fesyen sekalipun terpaksa bekerja dalam keadaan terlantar di atas katil.
Allahyarham juga seorang yang kreatif dan bijak kerana menjadi salah seorang anak jati Malaysia yang berkelulusan Undang-Undang Islam dan Psikologi Pendidikan dari Universiti India serta memperoleh Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Pengurusan Rekod dan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pendidikan tidak tamat di situ saja sebaliknya ketika mengikut suaminya ke Amerika Syarikat, Allahyarham tidak melepaskan peluang mengikuti kursus dan latihan dalam bidang rekaan fesyen serta jahitan di Indiana State University, Amerika Syarikat dan American International Women Club.
Menerusi temubual bersama wartawan Ratu tahun lalu, Allahyarham mengakui suka bergaya apabila ditanya bagaimana tercetusnya minat dalam dunia fesyen.
Walaupun pernah tidak memakai tudung suatu ketika dulu, namun selepas melihat sendiri keinginan wanita bertudung untuk tampak cantik dan bergaya, Allahyarham mencari jalan membantu wanita bertudung tampak cantik dengan memperkenalkan busana Muslimah anggun lagi bergaya.
Pembabitan Allahyarham dalam dunia dan pertunjukan fesyen tidak terkira banyaknya. Antara pertunjukan terakhir yang pernah disertainya ialah Festival Fesyen Islam (IFF) ke-8 yang diadakan diadakan di Jakarta tahun lalu dan disertai beberapa pereka dari negara luar termasuk Malaysia, Indonesia, Jordan, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Maghribi, Itali dan United Kingdom. Namun, oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan ketika itu, Allahyarham hanya menghantar wakil.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan Isnin lalu sebelum Zohor di Shah Alam. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya.
INFO:
Hamadah Datuk Ghazali
Tarikh lahir: 15 Jun 1947
Asal: Bagan Datoh, Perak
Pendidikan: - Undang-Undang Islam dan Psikologi Pendidikan dari Universiti India
- Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Pengurusan Rekod dan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
- Kursus dan latihan dalam bidang rekaan fesyen serta jahitan di Indiana State University, Amerika Syarikat dan American International Women Club.
Kerjaya: Penulis dan penyusun Buku Bimbingan Pemakaian Tudung.