Lilysari kali ini berkongsi kaedah bergaya mengikut acara dengan menjinjing beg bersesuaian tema serta kasut yang membiaskan gaya peribadi. Ikuti bagaimana mencapai status paling bergaya bersesuaian dengan aliran aksesori yang tepat.
Selembut Sifon
Dirias mewah bersama batu kristal yang sarat, Elie Saab adalah petunjuk fesyen paling jitu dengan penggunaan fabrik sifon. Dior juga tidak ketinggalan menggunakan fabrik sifon untuk mencipta siluet lembut dan beralun mengikut tubuh badan wanita. Sifon dihasilkan daripada tenunan benang lembut dan tekstur ini seeloknya digunakan untuk membuat busana malam seperti gaun labuh meleret.
Kulit Eksotik
Penggunaan material kulit seperti kulit anak kambing biri-biri dan rusa sebagai asas fabrik sudah biasa dipraktikkan. Ciptaan elemen dramatik Givenchy dan Armani Prive menggabungkan kulit eksotik sebagai fabrik mereka. Penggunaan kulit buaya di Givenchy dan sisik ular di Armani Prive nyata mencipta satu gaya mewah. Riccardo Tisci menggunakan kulit buaya yang diberi kemasan lembut senipis nappa dan dijadikan korset lantas mencipta gaya perwira fesyen.
Renda Cinta
Renda terus menjadi fabrik paling popular namun, Valentino menjadi pengkarya paling hebat dalam mentafsir setiap seni renda dan mereka bijak menongkah arus agar renda yang dipersembahkan mempunyai elemen resmi Valentino. Kelainannya terserlah apabila menggunaan fabrik renda organza dengan mencipta elemen yang lebih romantik.
Pengasas busana Muslimah Atim-Agoy Boutique kembali ke Rahmatullah
Perunding imej wanita Muslimah yang juga pengasas serta pemilik jenama Atim-Agoy Boutique itu meninggal dunia akibat serangan barah payu dara yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu. Pemergian Allahyarham disaksikan oleh ahli keluarga terdekat iaitu suami, Wan Azizan Wah Ahmad, anak tunggal pasangan berkenaan, Azrul Azwa, 32, serta menantu mereka.
Adik kepada Allahyarham, Humaidi Datuk Ghazali, berkata, Allahyarham yang juga pemilik Syarikat Muslimah Grooming & Modelling pergi meninggalkan arena fesyen tempatan sehari sebelum genap usia 63 tahun kerana hari lahirnya jatuh pada 15 Jun.
Menceritakan sifat yang disenangi Humaidi berkata, sepanjang hidup Allahyarham seorang yang cepat mesra dengan semua orang. Malah, disenangi dengan sifatnya yang pelembut, peramah dan suka mendidik.
“Allahyarham tidak pernah kedekut atau mementingkan diri sendiri ketika berkecimpung dalam dunia fesyen. Ini dapat dilihat sendiri apabila beliau sering mencurahkan pandangan menerusi ceramah dan motivasi yang dianjurkannya mengenai cara mengenakan fesyen yang menarik, anggun dan berlandaskan Islam.
“Saya terharu kerana Allahyarham seorang yang mulia, baik hati serta seorang yang kreatif. Walaupun terbabit dalam dunia fesyen pelbagai gaya, namun sebagai wanita Muslim, Allahyarham tidak melepaskan tanggungjawab mendidik dan menggalakkan wanita Islam mengenakan pakaian menutup aurat menerusi busana Muslimah yang diperkenalkannya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, kelmarin.
Nama Hamadah pernah melonjak dan mewarnai dunia fesyen rekaan di negara ini, khususnya dalam rekaan busana Muslimah. Kejayaannya mencipta fenomena baru, mengetengahkan fesyen busana Muslimah kontemporari, anggun dan eksklusif, tetapi masih terikat dengan syariat Islam, 11 tahun lalu, berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap pemakaian gaya bertudung di negara ini.
Allahyarham yang juga Pengarah Atim-Agoy Boutique pernah berkata, sebagai wanita berkerjaya yang bertudung tidak salah bergaya ke tempat kerja, malah ia satu keperluan bagi memperlihatkan keindahan dalam Islam apabila berpakaian.
Melalui Atim-Agoy Boutique yang diasaskan pada 1998, Allahyarham sentiasa menekankan tiada sebab wanita Muslimah tidak cantik semata-mata kerana bertudung. malah berpendapat, tiada larangan mengenakan fesyen dalam Islam selagi masih memenuhi lunas dan hukum yang ditetapkan.
Berpegang prinsip itulah, Allahyarham gigih merekacipta busana fesyen Muslimah kontemporari, mengikut ragam aliran masa kini iaitu daripada koleksi untuk ke majlis rasmi hinggalah fesyen ke pejabat dan pengantin. Namanya, mula meniti dari bibir ke bibir terutama di kalangan penggemar fesyen Muslimah, tambahan ketika itu memang tiada saingan.
Bagaimanapun, berikutan kemunculan butik fesyen Muslimah tumbuh bagaikan cendawan tidak lama kemudian, menenggelamkan seketika jenama Atim-Agoy. Ujian lebih besar dihadapi Allahyarham ialah apabila disahkan menghidap barah payu dara pada 2007 dan pernah lumpuh separuh badan selama lebih sebulan.
Berikutan keadaan kesihatan yang tidak stabil, keputusan menutup beberapa rangkaian butiknya termasuk di Shah Alam dan di pusat beli-belah di Mid Valley terpaksa diambil.
Namun begitu, Allahyarham masih gigih berkarya dan mencurahkan idea bagi menghasilkan rekaan fesyen sekalipun terpaksa bekerja dalam keadaan terlantar di atas katil.
Allahyarham juga seorang yang kreatif dan bijak kerana menjadi salah seorang anak jati Malaysia yang berkelulusan Undang-Undang Islam dan Psikologi Pendidikan dari Universiti India serta memperoleh Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Pengurusan Rekod dan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pendidikan tidak tamat di situ saja sebaliknya ketika mengikut suaminya ke Amerika Syarikat, Allahyarham tidak melepaskan peluang mengikuti kursus dan latihan dalam bidang rekaan fesyen serta jahitan di Indiana State University, Amerika Syarikat dan American International Women Club.
Menerusi temubual bersama wartawan Ratu tahun lalu, Allahyarham mengakui suka bergaya apabila ditanya bagaimana tercetusnya minat dalam dunia fesyen.
Walaupun pernah tidak memakai tudung suatu ketika dulu, namun selepas melihat sendiri keinginan wanita bertudung untuk tampak cantik dan bergaya, Allahyarham mencari jalan membantu wanita bertudung tampak cantik dengan memperkenalkan busana Muslimah anggun lagi bergaya.
Pembabitan Allahyarham dalam dunia dan pertunjukan fesyen tidak terkira banyaknya. Antara pertunjukan terakhir yang pernah disertainya ialah Festival Fesyen Islam (IFF) ke-8 yang diadakan diadakan di Jakarta tahun lalu dan disertai beberapa pereka dari negara luar termasuk Malaysia, Indonesia, Jordan, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Maghribi, Itali dan United Kingdom. Namun, oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan ketika itu, Allahyarham hanya menghantar wakil.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan Isnin lalu sebelum Zohor di Shah Alam. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya.
INFO:
Hamadah Datuk Ghazali
Tarikh lahir: 15 Jun 1947
Asal: Bagan Datoh, Perak
Pendidikan: - Undang-Undang Islam dan Psikologi Pendidikan dari Universiti India
- Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Pengurusan Rekod dan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
- Kursus dan latihan dalam bidang rekaan fesyen serta jahitan di Indiana State University, Amerika Syarikat dan American International Women Club.
Kerjaya: Penulis dan penyusun Buku Bimbingan Pemakaian Tudung.