KUALA LUMPUR, 21 JULAI 2010: Seperti yang diimpikan Presiden Persatuan Pereka Fesyen Rasmi Malaysia (Moda), Gillian Hung, majlis sambutan ulang tahun ke-20 persatuan itu ternyata meriah dengan kehadiran barisan pereka fesyen vateran popular negara.
Lebih 10 pereka fesyen tersohor dari era 80-an seperti Professor Dato' Dr Jimmy Choo, Michael Ong, Andrew Gan, Eric Chong, Edmund Ser, Daniel Lim, Albert King, Alvin Tang dan Bill Keith telah sama-sama memeriahkan acara gilang gemilang yang diadakan di pusat beli-belah Pavilion, di sini malam tadi.
Lebih istimewa lagi, apabila Moda telah menerbangkan secara khas pereka fesyen yang mencipta nama di New York, Zang Toi bersama-sama supermodel Ling Tan untuk menyerikan lagi laluan runway penuh glamor itu."Kalau dulu kami semua selalu bergaduh dan bersusah payah untuk meningkatkan produktiviti industri fesyen tempatan, hari ini kami dihimpunkan semula dalam sebuah majlis yang sangat istimewa sebagai menghargai peranan mereka selama 20 tahun berkecimpung.
"Inilah nilai persahabatan yang tidak ada nilai tandingannya. Apa yang kami harapkan sekarang, hanyalah untuk menurunkan segala kemahiran kami ini kepada generasi muda bagi meneruskan usaha kami selama ini," kata Gillian dalam ucapan ringkasnya.
Menyemarakkan lagi malam gala berkenaan dengan kemunculan beberapa model popular di era 70-an dan 80-an seperti Maggie Loo, Cillia dan Cat Low yang turut diberi penghormatan mempamerkan sekali lagi kehebatan mereka di laluan runway kali ini.
Malah, acara kemuncak Moda kali ini turut melakarkan sejarahnya tersendiri apabila berjaya menyatukan 4 bekas presiden persatuan itu di atas pentas yang sama wilkinson iaitu presiden Moda pertama, Roslan Wilkinson, Orsan Wong, Bill Keith dan tidak ketinggalan Gillian sendiri.
Ruang legar utama Pavilion berubah bagaikan minggu fesyen antarabangsa apabila beberapa pereka fesyen yang sudah mencipta nama sepeti Amir Luqman, Khoon Hooi, Melinda Looi, Nazleen Noor, Alvin Tay, Key Ng, Jonathyan Cheng dan Jovian Mandagie turut turun padang.
Masing-masing telah diberi peluang menyerlahkan pentas gah Moda dengan mempamerkan beberapa rekaan terkini masing-masing sebagai santapan persembahan akan kesungguhan mereka selama berkecimpung di dalam industri fesyen.Antara selebriti yang turut hadir ke majlis fesyen penuh glamor ini iaitu Syafinaz Selamat, Mizz Nina, Reshmonu, Azura, Serina Redzuan, Zahida Rafik dan Sharifah Shawati. Supermodel Amber Chia, Miss Universe Malaysia 2004, Andrea Fonseka dan Miss World Malaysia 2009, Tanuja Ananthan turut hadir memeriahkan acara.
Lensa kamera dan tetamu telah dikejutkan dengan kemunculan Farhan dengan persalinan merah baldu (ciptaan Bill Keith) dengan gaya rambut afro miliknya ketika menyanyikan lagu popular Mercy iaitu nyanyian asal Duffy.
Di pentas yang sama juga Syafinaz terlah menunjukkan taringnya dengan persembahan single terbarunya, Terpesona yang cukup memukau.
Turut diadakan pada malam gilang-gemilang itu, Pertandingan Pereka Fesyen Muda Malaysia (MYDC), di mana juara akan memakili Malaysia ke Asian Young Fashion Designer's Contest di Singapura tidak lama lagi.
Pemenang pertama membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000, RM3,000 (kedua) dan RM2,000 (ketiga).
Pengasas busana Muslimah Atim-Agoy Boutique kembali ke Rahmatullah
Perunding imej wanita Muslimah yang juga pengasas serta pemilik jenama Atim-Agoy Boutique itu meninggal dunia akibat serangan barah payu dara yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu. Pemergian Allahyarham disaksikan oleh ahli keluarga terdekat iaitu suami, Wan Azizan Wah Ahmad, anak tunggal pasangan berkenaan, Azrul Azwa, 32, serta menantu mereka.
Adik kepada Allahyarham, Humaidi Datuk Ghazali, berkata, Allahyarham yang juga pemilik Syarikat Muslimah Grooming & Modelling pergi meninggalkan arena fesyen tempatan sehari sebelum genap usia 63 tahun kerana hari lahirnya jatuh pada 15 Jun.
Menceritakan sifat yang disenangi Humaidi berkata, sepanjang hidup Allahyarham seorang yang cepat mesra dengan semua orang. Malah, disenangi dengan sifatnya yang pelembut, peramah dan suka mendidik.
“Allahyarham tidak pernah kedekut atau mementingkan diri sendiri ketika berkecimpung dalam dunia fesyen. Ini dapat dilihat sendiri apabila beliau sering mencurahkan pandangan menerusi ceramah dan motivasi yang dianjurkannya mengenai cara mengenakan fesyen yang menarik, anggun dan berlandaskan Islam.
“Saya terharu kerana Allahyarham seorang yang mulia, baik hati serta seorang yang kreatif. Walaupun terbabit dalam dunia fesyen pelbagai gaya, namun sebagai wanita Muslim, Allahyarham tidak melepaskan tanggungjawab mendidik dan menggalakkan wanita Islam mengenakan pakaian menutup aurat menerusi busana Muslimah yang diperkenalkannya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, kelmarin.
Nama Hamadah pernah melonjak dan mewarnai dunia fesyen rekaan di negara ini, khususnya dalam rekaan busana Muslimah. Kejayaannya mencipta fenomena baru, mengetengahkan fesyen busana Muslimah kontemporari, anggun dan eksklusif, tetapi masih terikat dengan syariat Islam, 11 tahun lalu, berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap pemakaian gaya bertudung di negara ini.
Allahyarham yang juga Pengarah Atim-Agoy Boutique pernah berkata, sebagai wanita berkerjaya yang bertudung tidak salah bergaya ke tempat kerja, malah ia satu keperluan bagi memperlihatkan keindahan dalam Islam apabila berpakaian.
Melalui Atim-Agoy Boutique yang diasaskan pada 1998, Allahyarham sentiasa menekankan tiada sebab wanita Muslimah tidak cantik semata-mata kerana bertudung. malah berpendapat, tiada larangan mengenakan fesyen dalam Islam selagi masih memenuhi lunas dan hukum yang ditetapkan.
Berpegang prinsip itulah, Allahyarham gigih merekacipta busana fesyen Muslimah kontemporari, mengikut ragam aliran masa kini iaitu daripada koleksi untuk ke majlis rasmi hinggalah fesyen ke pejabat dan pengantin. Namanya, mula meniti dari bibir ke bibir terutama di kalangan penggemar fesyen Muslimah, tambahan ketika itu memang tiada saingan.
Bagaimanapun, berikutan kemunculan butik fesyen Muslimah tumbuh bagaikan cendawan tidak lama kemudian, menenggelamkan seketika jenama Atim-Agoy. Ujian lebih besar dihadapi Allahyarham ialah apabila disahkan menghidap barah payu dara pada 2007 dan pernah lumpuh separuh badan selama lebih sebulan.
Berikutan keadaan kesihatan yang tidak stabil, keputusan menutup beberapa rangkaian butiknya termasuk di Shah Alam dan di pusat beli-belah di Mid Valley terpaksa diambil.
Namun begitu, Allahyarham masih gigih berkarya dan mencurahkan idea bagi menghasilkan rekaan fesyen sekalipun terpaksa bekerja dalam keadaan terlantar di atas katil.
Allahyarham juga seorang yang kreatif dan bijak kerana menjadi salah seorang anak jati Malaysia yang berkelulusan Undang-Undang Islam dan Psikologi Pendidikan dari Universiti India serta memperoleh Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Pengurusan Rekod dan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pendidikan tidak tamat di situ saja sebaliknya ketika mengikut suaminya ke Amerika Syarikat, Allahyarham tidak melepaskan peluang mengikuti kursus dan latihan dalam bidang rekaan fesyen serta jahitan di Indiana State University, Amerika Syarikat dan American International Women Club.
Menerusi temubual bersama wartawan Ratu tahun lalu, Allahyarham mengakui suka bergaya apabila ditanya bagaimana tercetusnya minat dalam dunia fesyen.
Walaupun pernah tidak memakai tudung suatu ketika dulu, namun selepas melihat sendiri keinginan wanita bertudung untuk tampak cantik dan bergaya, Allahyarham mencari jalan membantu wanita bertudung tampak cantik dengan memperkenalkan busana Muslimah anggun lagi bergaya.
Pembabitan Allahyarham dalam dunia dan pertunjukan fesyen tidak terkira banyaknya. Antara pertunjukan terakhir yang pernah disertainya ialah Festival Fesyen Islam (IFF) ke-8 yang diadakan diadakan di Jakarta tahun lalu dan disertai beberapa pereka dari negara luar termasuk Malaysia, Indonesia, Jordan, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Maghribi, Itali dan United Kingdom. Namun, oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan ketika itu, Allahyarham hanya menghantar wakil.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan Isnin lalu sebelum Zohor di Shah Alam. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya.
INFO:
Hamadah Datuk Ghazali
Tarikh lahir: 15 Jun 1947
Asal: Bagan Datoh, Perak
Pendidikan: - Undang-Undang Islam dan Psikologi Pendidikan dari Universiti India
- Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Pengurusan Rekod dan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
- Kursus dan latihan dalam bidang rekaan fesyen serta jahitan di Indiana State University, Amerika Syarikat dan American International Women Club.
Kerjaya: Penulis dan penyusun Buku Bimbingan Pemakaian Tudung.